Monday, April 27, 2009

Jangan Suka Buang Nyawa Anda!!



Ada pepatah mengatakan bahawa “Masa itu emas”. Ia sangat berharga seperti berharganya emas, tidak boleh dibazirkan sesuka hati kerana anda terpaksa ‘membayar’nya dengan harga yang mahal.

Benarkah begitu? Atau bidalan itu tidak kena? Secara logiknya saya berfikir, jika masa itu emas, masih boleh dijual beli, ditukar ganti. Adakah anda dapat membeli masa di mana-mana kedai (termasuk kedai emas) walaupun dengan harga yang mahal???

Masa juga adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T. Ia mengalir ibarat sebuah sungai yang mana sekali kita memijak airnya, kita tidak dapat memijak air yang sama untuk kali keduanya. Masa yang berlalu juga tidak dapat ditebus kembali walau dengan apa cara sekalipun, seperti kata-kata Imam Ghazali “Yang paling jauh adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama”

 

Justeru, saya lebih suka mengibaratkan MASA = NYAWA. Ini pun saya dapati daripada sebuah majalah tempatan, iaitu majalah SOLUSI. Sebuah perbandingan yang bagi saya cukup sebagai peringatan untuk kita. Membuang masa dengan perkara-perkara dosa dan tidak berfaedah adalah sama dengan membuang nyawa dan umur kita. Sepatutnya, setiap saat dalam umur kita perlu diisi dengan perkara-perkara berfaedah dan bermakna.

Saya tidak nafikan saya juga seorang yang suka bertangguh. Semasa belajar saya dahulu sering saya isi dengan perkara-perkara tidak berfaedah daripada mengulangkaji perlajaran. Hakikatnya saya rasa menyesal sekarang, tetapi masa yang berlalu tidak mungkin dapat ditebus kembali. Seolah-olahnya saya telah membazirkan umur saya, atau lebih tepat lagi saya telah banyak menghabiskan NYAWA saya. Seorang kawan pernah menasihati saya; “Jangan langsung kamu berkompromi dengan masa!”. Ini kerana kita tidak tahu apakah kita dapat bernafas lagi selepas ini hatta dalam masa 1minit dari sekarang.

Dengan mengibaratkan masa sebagai nyawa, kita tentu lebih berhati-hati dalam menguruskan masa selepas ini, kerana ia berkaitan dengan nyawa kita. Andaikan begini; pada nyawa kita sekian sekian kita sepatutnya menyelesaikan kerja-kerja rumah tetapi sebab kita suka bertangguh maka jadilah begini; pada nyawa kita sekian-sekian, kita telah menghabiskannya dengan menonton televisyen (baca;program reality tv). Wahh..sungguh rugi rasanya, apa yang kita nak jawab pada Allah S.W.T kelak? Walhal setiap masa dan umur kita di dunia tidak akan terlepas daripada perhitunganNya. Surah Al-‘Asr saja sudah cukup utk mengingatkan kita..

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran"

(Al-'Asr, ayat 1-3)

Sungguhlah beruntung orang-orang yang suka mengisi masa lapangnya dengan perkara-perkara bermanfaat (Moga saya tergolong dalam kumpulan ini). Semoga saya juga menjadi orang-orang yang tau menghargai nyawa!

No comments: