Monday, April 27, 2009

Jangan Suka Buang Nyawa Anda!!



Ada pepatah mengatakan bahawa “Masa itu emas”. Ia sangat berharga seperti berharganya emas, tidak boleh dibazirkan sesuka hati kerana anda terpaksa ‘membayar’nya dengan harga yang mahal.

Benarkah begitu? Atau bidalan itu tidak kena? Secara logiknya saya berfikir, jika masa itu emas, masih boleh dijual beli, ditukar ganti. Adakah anda dapat membeli masa di mana-mana kedai (termasuk kedai emas) walaupun dengan harga yang mahal???

Masa juga adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T. Ia mengalir ibarat sebuah sungai yang mana sekali kita memijak airnya, kita tidak dapat memijak air yang sama untuk kali keduanya. Masa yang berlalu juga tidak dapat ditebus kembali walau dengan apa cara sekalipun, seperti kata-kata Imam Ghazali “Yang paling jauh adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama”

 

Justeru, saya lebih suka mengibaratkan MASA = NYAWA. Ini pun saya dapati daripada sebuah majalah tempatan, iaitu majalah SOLUSI. Sebuah perbandingan yang bagi saya cukup sebagai peringatan untuk kita. Membuang masa dengan perkara-perkara dosa dan tidak berfaedah adalah sama dengan membuang nyawa dan umur kita. Sepatutnya, setiap saat dalam umur kita perlu diisi dengan perkara-perkara berfaedah dan bermakna.

Saya tidak nafikan saya juga seorang yang suka bertangguh. Semasa belajar saya dahulu sering saya isi dengan perkara-perkara tidak berfaedah daripada mengulangkaji perlajaran. Hakikatnya saya rasa menyesal sekarang, tetapi masa yang berlalu tidak mungkin dapat ditebus kembali. Seolah-olahnya saya telah membazirkan umur saya, atau lebih tepat lagi saya telah banyak menghabiskan NYAWA saya. Seorang kawan pernah menasihati saya; “Jangan langsung kamu berkompromi dengan masa!”. Ini kerana kita tidak tahu apakah kita dapat bernafas lagi selepas ini hatta dalam masa 1minit dari sekarang.

Dengan mengibaratkan masa sebagai nyawa, kita tentu lebih berhati-hati dalam menguruskan masa selepas ini, kerana ia berkaitan dengan nyawa kita. Andaikan begini; pada nyawa kita sekian sekian kita sepatutnya menyelesaikan kerja-kerja rumah tetapi sebab kita suka bertangguh maka jadilah begini; pada nyawa kita sekian-sekian, kita telah menghabiskannya dengan menonton televisyen (baca;program reality tv). Wahh..sungguh rugi rasanya, apa yang kita nak jawab pada Allah S.W.T kelak? Walhal setiap masa dan umur kita di dunia tidak akan terlepas daripada perhitunganNya. Surah Al-‘Asr saja sudah cukup utk mengingatkan kita..

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran"

(Al-'Asr, ayat 1-3)

Sungguhlah beruntung orang-orang yang suka mengisi masa lapangnya dengan perkara-perkara bermanfaat (Moga saya tergolong dalam kumpulan ini). Semoga saya juga menjadi orang-orang yang tau menghargai nyawa!

Monday, April 13, 2009

Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009
YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.
Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera
Yang Berhormat,
Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”
Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.
Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.
Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.
Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.
* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *
(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap

Tuesday, April 7, 2009

Pertolongan Allah dan Kemenangan

Sudah lama benar saya tidak menulis di ruangan maya ini. Kekangan masa dan idea ditambah pula dengan kekurangan tahap 'kerajinan' menjadikan diri saya beku selama beberapa detik ini. Apa pun, semua perkara adalah bergantung pada diri sendiri,hanya orang2 yang suka beralasan yang selalunya mencipta alasan.
Salam kemenangan utk khusus utk penyokong2 Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau dan rakyat umumnya. Tersentuh saya dengan ucapan DS Nizar sebaik sahaja diumumkan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang. Saya tidak berada di sana, namun kehangatan itu turut dirasai apabila saya menonton rancangan Analisis Pilihanraya di saluran Astro Awani. Ucapan DS Nizar yang dimulai dengan surah Al-Nasr itu cukup menyentuh hati dan perasaan. 

" Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat "
(Terjemahan Surah Al-Nasr : Ayat 1-3)

Ayat ini sangat bertepatan dengan peristiwa kemenangan yang berlaku di dua bukit tersebut. sesungguhnya kemenangan itu ternyata hakmilik Allah S.W.T dan berhak diberikanNya kpd yang dikehendakiNya. nyatalah janji-janji Allah S.W.T bahwa kemenangan itu sangat HAMPIR. Setelah beberapa tahun berjuang, kemenangan Islam itu seakan-akan satu gelombang yang muncul di saat ini, di saat masyarakat semakin rosak dan hancur. Saya pernah mendengar keluhan seorang makcik yang telah lama berkecimpung dalam perjuangan PAS, kapan bilakah kemenangan itu berlaku. Sudah lama berjuang tetapi tidak menang-menang. Nah.. inilah kemenangan demi kemenangan yang makcik tunggu2, sementara kegembiraan kemenangan dalam PR Umum 12 tidak hilang lagi. Jangan kita banyak mempersoalkan urusan bila kerana itu semua ketetapan Allah, sebaliknya kita seharusnya bertanya, apa yang sudah kita sumbangkan? Di sebalik kemenangan tersebut, berapa bahagian daripada harta, usaha dan masa kita telah pergunakan? Dan seandainya sekarang ini kita masih belum menang, kita tidak perlu berasa sedih dan kecewa kerana kemenangan di akhirat itu adalah suatu kepastian! InsyaAllah...

Seharusnya kita bermuhasabah kembali, apakah kemenangan ini suatu nikmat ataupun ia bakal menjadi ujian kepada kita. Kita perlu meningkatkan seluruh usaha dan tenaga utk sama-sama mempertahankan kemenangan ini untuk meraih kemenangan seterusnya. Namun, kemenangan dan pertolongan Allah ini sebenarnya adalah satu pemangkin semangat utk ahli  gerakan islam dan tidak salah utk kita meraikannya dengan sujud syukur dan puji-pujian kepada Allah S.W.T, pemilik hakiki.

Ya Allah..Terima kasih dia tasa segala nikmatMu yang telah Kau berikan kepada kami. Ampunkan kami di atas segala kesalahan kami, dosa-dosa kami yang kami sedari atau tidak. Kami mohon redhaMu Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami.