Wednesday, May 27, 2009

Mogok Lapar ke???

Isu Perak sememangnya tidak berkesudahan hingga ke hari ini. Ramai berpendapat bahawa dengan pembubaran Dun Perak sahaja isu ini akan selesai. Walaupun saya bukanlah rakyat perak, bukan bermakna saya nak menyibuk. Tetapi ibu saya berasal dari perak dan sedikit sebanyak ada bersangkutan dengan saya. Huhu.. bukan macam tu ye. Islam bukanlah agama yang khusus untuk pengibadatan sahaja, tetapi Islam itu "syumul" (lengkap) yang memenuhi segenap aspek kehidupan termasuklah hal-hal politik dan pentadbiran.

Baru-baru ini isu mogok lapar yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat Perak agak mencetuskan kontroversi..


Mogok Lapar Bertentangan dengan Islam – Mufti

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan FADZILAH BAHARUDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Mei – Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kempen mogok lapar kerana ia tidak wujud dalam Islam dan bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak Islamiah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.

Jelasnya, sebarang perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada nyawa, akal, minda, harta dan keluarga adalah haram di sisi Islam.

“Andai kata seseorang yang mogok lapar itu meninggal dunia, maka ia seolah-olah membunuh diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula esok selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor berkata, mogok lapar ditunjangi oleh kehendak perasaan dan hawa nafsu serta sama sekali bertentangan dengan konsep kemanusiaan dalam Islam.

Tambahnya, orang yang mogok lapar sama seperti golongan yang berputus asa dalam perjuangannya sedangkan Islam melarang umatnya berbuat demikian.

“Mogok lapar berbeza dengan puasa. Dalam Islam, puasa bertujuan menahan diri hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ini termasuk puasa wajib, sunat dan nazar,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang Islam di negara ini supaya bertenang dan percaya kepada qada dan qadar Allah kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Percaya kepada qada dan qadar merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Dalam Rukun Iman, sekiranya kita menolak salah satu daripadanya, maka terbatallah kesemuanya.

“Dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan. Maka sesungguhnya seseorang itu tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada dirinya dan juga orang lain kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,” ujar beliau.

Terdahulu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan orang Islam sama sekali diharamkan daripada terlibat dalam mogok lapar walaupun bertujuan memberi sokongan kerana mereka wajib menjaga nyawa sendiri.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu mereka yang menyertai kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang esok melakukannya hingga mati sebagai seorang pahlawan demokrasi.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam nada yang sinis berkata, pihak terlibat hanya mahu mencari publisiti murahan dan berharap pihak media tidak memberi ruang kepada mereka.

Beliau yang kesal dengan tindakan tersebut berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya akan mencemarkan imej negara.

“Kita mengalu-alukan tindakan mereka. Tetapi jika mereka mahu buat mogok lapar, pastikan mereka buat sampai mati. Nanti kita akan tabur bunga kepada mereka sebagai pahlawan demokrasi,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lihat laporan asal di Utusan Malaysia

Lagi artikel...


ULAMA PRO UMNO JANGAN CEPAT MELATAH

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila timbulnya isu mogok lapar di Perak , Umno dilihat menggunakan ulama’ tertentu untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat ( PR ). Tokoh agama Johor dan juga mantan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Selain Datuk Noh Gadut , Mufti Perak , Datuk Harussani juga membidas rancangan PR untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya," ( lihat Mingguan Malaysia 24/5/2009 )

Saya tidak pasti bagaimana kedua-dua tokoh agama ini melihat krisis Perak. Atau dengan lebih terang lagi saya tidak pasti adakah mereka benar-benar memahami krisis Perak ini ?

Kita melihat kedua-dua tokoh ini dengan begitu mudah mengharamkan perbuatan mogok lapar tanpa melihat dan merenung mengapakah mogok lapar tersebut dilakukan ?

Apa yang malang mereka begitu mudah mengatakan mogok lapar tersebut adalah haram tetapi tidak langsung mengeluarkan pendapat mereka tentang perkara-perkara berikut :-

a. Apakah hukumnya bagi Umno yang bertindak “ menculik” tiga orang bekas Adun PR bagi menjatuhkan sebuah Kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lalu ?

b. Apakah hukumnya Umno menggunakan segala institusi keadilan seperti Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah ( SPRM ) bagi memberi tekanan dan ancaman kepada Speaker Perak meskipun perbuatan pihak polis dan SPRM tidak ada sebarang asas di bawah undang-undang ? Adakah hanya kerana V. Sivakumar bukan beragama Islam maka kezaliman boleh dilakukan ke atas beliau ? Jika ya, bagaimanakah kedua –dua tokoh agama ini ingin menjawab ayat Al-Quran yang menyatakan “ Janganlah kebencian kamu kepada satu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adillah kerana dengannya ( melakukan keadilan ) akan mendekatkan kepada taqwa.”

c. Apakah hukumnya ke atas mereka yang memfitnah Dato Seri Nizar siang dan malam bahawa beliau adalah penderhaka kepada Raja hanya kerana Nizar menyatakan kalimah “ patik memohon sembah derhaka” tatkala beliau diminta untuk meletakkan jawatan oleh Sultan Perak ? Bukankah fitnah lebih dahsyat dari membunuh ?

d. Mengapakah kedua-dua tokoh agama tersebut tidak pernah bersuara menyokong Kerajaan PR yang dipimpin oleh Nizar yang memberi semula bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) dan memberi tanah sebanyak 1000 hektar kepada SAR sedangkan semua orang tahu Umno telah bertindak untuk mematikan SAR dan pernah juga menuduh SAR adalah sarang pengganas.

e. Apakah hukumnya tindakan biadap pihak polis dan disokong dan direstui oleh Umno yang menangkap orang ramai dengan sesuka hati hanya kerana mereka memakai baju hitam dan berhimpun secara aman bagi meminta Dun Perak dibubarkan ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini sedar bahawa Haji Mohamad Sabu ditangkap kerana hanya ingin menganjurkan solat hajat di Perak ? 

f. Adakah menangkap sesuka hati adalah sebahagian ajaran Islam ? Kalau ya terangkan kepada kami ayat Al-Quran atau Hadith manakah yang membenarkan hal tersebut ? Adakah diri dan jasad manusia tanpa mengenal agama tidak perlu dihormati ? Tidakkah Al-Quran menyatakan “ Sesungguhnya kami memuliakan Bani Adam” ? Bukankah Syaidina Umar r.a pernah menegur dengan keras Gabenor Mesir Amru Al’As apabila anaknya Muhammad memukul seorang rakyat berketurunan Qibti dengan kata-kata berikut “ Sejak bila kamu diberi lesen/permit memperhambakan sesama manusia sedangkan manusia itu dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas”.

f. Apakah hukumnya Umno menggunakan polis yang bersenjata masuk ke dalam Dun Perak pada 7 hb Mei 2009 meskipun tiada sebarang undang-undang yang membenarakan polis berbuat demikian dan tindakan polis itu semata-mata kerana ingin mewujudkan kekacauan di dalam Dun . Adakah terdapat di dalam Islam hukum mengheret keluar dengan kasar seseoarang seperti V.Sivakumar ( termasuk dengan mengangkat kerusinya sekali ) dan meletakkannya di dalam bilik stor tanpa membenarkan beliau masuk ke dalam sidang Dun meskipun beliau adalah seorang ADUN yang sah . Adakah hanya kerana dia bukan Islam maka mulut kedua-dua tokoh agama ini dikunci dari berkata-berkata ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini ingat apa yang Rasulullah s.a.w. katakan kepada sahabat yang menegur Baginda apabila Baginda bangun menghormati mayat seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda. Bukankah Rasullullah s..a.w mengatakan begini “ Alaisat Nafsan ! ( Tidak mayat itu juga makhluk ? ). Lihatlah
Rasulullah s.a.w bukan sahaja menghormati orang bukan Islam tetapi juga mayat orang bukan Islam !!!

g. Islam mengajar pendamaian . Dalam konteks kes Perak semua orang tahu keadaan haru biru hanya dapat diselesaikan apabila dibubarkan Dun dan diadakan pilihanraya semula. Mengapakah kedua-dua tokoh agama ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan supaya Dun Perak dapat dibubarkan agar kedamaian dapat pulih semula di Perak.

h. Islam melarang sebarang amalan diskriminasi dan pilih kasih. Mengapakah kedua-dua tokoh agama ini tidak bersuara apabila Mahkamah Rayuan dengan secara mudah dan cepat menggantung keputusan Mahkamah Tinggi apabila Zambry memohon penggantungan tersebut pada 12 hb Mei 2009 iaitu pada hari sama beliau membuat permohonan. Tidakkah kedua-dua tokoh agama tersebut melihat amalan pilih kasih apabila Nizar membuat permohonan bagi membatalkan penggantungan pada 13 hb Mei 2009 permohonan beliau hanya ditetapkan untuk pendengaran pada 21 hb Mei 2009 iaitu 8 hari selepas permohonan dibuat. Itupun pada tarikh 21 hb Mei permohonan Nizar tidak didengar kerana Rayuan Zambry juga ditetapkan pada tarikh yang sama . Bolehkah Islam menjustifikasi amalan tidak adil tersebut ?

No comments: