Thursday, May 14, 2009

Sila Bersopan di Jalanraya


Saya bukanlah seorang yang pemarah. namun begitu, adakalanya saya juga akan hilang sabar. Saya paling tidak suka di 'hon' daripada belakang. Tidak mengapa jika ia memang kesalahan saya.
Tetapi saya amat marah jika saya di 'hon' kerana berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan @ orang melintas di hadapan.



Kepada pengguna-pengguna jalanraya, sila bersopan dan bertolak ansur di jalanraya. Semua orang pun hendak cepat sampai, tapi tolongg..lah...

Sila bersopan di jalanraya!!!

 أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ : أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : أَوْصِنِي. قَالَ))

لاَ تَغْضَبْ. فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ: لاَ تَغْضَبْ )) رواه البخاري.

Daripada Abu Hurairah r.a :
Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah
engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah
engkau marah.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari)

Semoga saya dapat menahan sifat marah saya..:)


Monday, April 27, 2009

Jangan Suka Buang Nyawa Anda!!



Ada pepatah mengatakan bahawa “Masa itu emas”. Ia sangat berharga seperti berharganya emas, tidak boleh dibazirkan sesuka hati kerana anda terpaksa ‘membayar’nya dengan harga yang mahal.

Benarkah begitu? Atau bidalan itu tidak kena? Secara logiknya saya berfikir, jika masa itu emas, masih boleh dijual beli, ditukar ganti. Adakah anda dapat membeli masa di mana-mana kedai (termasuk kedai emas) walaupun dengan harga yang mahal???

Masa juga adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T. Ia mengalir ibarat sebuah sungai yang mana sekali kita memijak airnya, kita tidak dapat memijak air yang sama untuk kali keduanya. Masa yang berlalu juga tidak dapat ditebus kembali walau dengan apa cara sekalipun, seperti kata-kata Imam Ghazali “Yang paling jauh adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama”

 

Justeru, saya lebih suka mengibaratkan MASA = NYAWA. Ini pun saya dapati daripada sebuah majalah tempatan, iaitu majalah SOLUSI. Sebuah perbandingan yang bagi saya cukup sebagai peringatan untuk kita. Membuang masa dengan perkara-perkara dosa dan tidak berfaedah adalah sama dengan membuang nyawa dan umur kita. Sepatutnya, setiap saat dalam umur kita perlu diisi dengan perkara-perkara berfaedah dan bermakna.

Saya tidak nafikan saya juga seorang yang suka bertangguh. Semasa belajar saya dahulu sering saya isi dengan perkara-perkara tidak berfaedah daripada mengulangkaji perlajaran. Hakikatnya saya rasa menyesal sekarang, tetapi masa yang berlalu tidak mungkin dapat ditebus kembali. Seolah-olahnya saya telah membazirkan umur saya, atau lebih tepat lagi saya telah banyak menghabiskan NYAWA saya. Seorang kawan pernah menasihati saya; “Jangan langsung kamu berkompromi dengan masa!”. Ini kerana kita tidak tahu apakah kita dapat bernafas lagi selepas ini hatta dalam masa 1minit dari sekarang.

Dengan mengibaratkan masa sebagai nyawa, kita tentu lebih berhati-hati dalam menguruskan masa selepas ini, kerana ia berkaitan dengan nyawa kita. Andaikan begini; pada nyawa kita sekian sekian kita sepatutnya menyelesaikan kerja-kerja rumah tetapi sebab kita suka bertangguh maka jadilah begini; pada nyawa kita sekian-sekian, kita telah menghabiskannya dengan menonton televisyen (baca;program reality tv). Wahh..sungguh rugi rasanya, apa yang kita nak jawab pada Allah S.W.T kelak? Walhal setiap masa dan umur kita di dunia tidak akan terlepas daripada perhitunganNya. Surah Al-‘Asr saja sudah cukup utk mengingatkan kita..

"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran"

(Al-'Asr, ayat 1-3)

Sungguhlah beruntung orang-orang yang suka mengisi masa lapangnya dengan perkara-perkara bermanfaat (Moga saya tergolong dalam kumpulan ini). Semoga saya juga menjadi orang-orang yang tau menghargai nyawa!

Monday, April 13, 2009

Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009
YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.
Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera
Yang Berhormat,
Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”
Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.
Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.
Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.
Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.
* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *
(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap

Tuesday, April 7, 2009

Pertolongan Allah dan Kemenangan

Sudah lama benar saya tidak menulis di ruangan maya ini. Kekangan masa dan idea ditambah pula dengan kekurangan tahap 'kerajinan' menjadikan diri saya beku selama beberapa detik ini. Apa pun, semua perkara adalah bergantung pada diri sendiri,hanya orang2 yang suka beralasan yang selalunya mencipta alasan.
Salam kemenangan utk khusus utk penyokong2 Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau dan rakyat umumnya. Tersentuh saya dengan ucapan DS Nizar sebaik sahaja diumumkan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang. Saya tidak berada di sana, namun kehangatan itu turut dirasai apabila saya menonton rancangan Analisis Pilihanraya di saluran Astro Awani. Ucapan DS Nizar yang dimulai dengan surah Al-Nasr itu cukup menyentuh hati dan perasaan. 

" Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat "
(Terjemahan Surah Al-Nasr : Ayat 1-3)

Ayat ini sangat bertepatan dengan peristiwa kemenangan yang berlaku di dua bukit tersebut. sesungguhnya kemenangan itu ternyata hakmilik Allah S.W.T dan berhak diberikanNya kpd yang dikehendakiNya. nyatalah janji-janji Allah S.W.T bahwa kemenangan itu sangat HAMPIR. Setelah beberapa tahun berjuang, kemenangan Islam itu seakan-akan satu gelombang yang muncul di saat ini, di saat masyarakat semakin rosak dan hancur. Saya pernah mendengar keluhan seorang makcik yang telah lama berkecimpung dalam perjuangan PAS, kapan bilakah kemenangan itu berlaku. Sudah lama berjuang tetapi tidak menang-menang. Nah.. inilah kemenangan demi kemenangan yang makcik tunggu2, sementara kegembiraan kemenangan dalam PR Umum 12 tidak hilang lagi. Jangan kita banyak mempersoalkan urusan bila kerana itu semua ketetapan Allah, sebaliknya kita seharusnya bertanya, apa yang sudah kita sumbangkan? Di sebalik kemenangan tersebut, berapa bahagian daripada harta, usaha dan masa kita telah pergunakan? Dan seandainya sekarang ini kita masih belum menang, kita tidak perlu berasa sedih dan kecewa kerana kemenangan di akhirat itu adalah suatu kepastian! InsyaAllah...

Seharusnya kita bermuhasabah kembali, apakah kemenangan ini suatu nikmat ataupun ia bakal menjadi ujian kepada kita. Kita perlu meningkatkan seluruh usaha dan tenaga utk sama-sama mempertahankan kemenangan ini untuk meraih kemenangan seterusnya. Namun, kemenangan dan pertolongan Allah ini sebenarnya adalah satu pemangkin semangat utk ahli  gerakan islam dan tidak salah utk kita meraikannya dengan sujud syukur dan puji-pujian kepada Allah S.W.T, pemilik hakiki.

Ya Allah..Terima kasih dia tasa segala nikmatMu yang telah Kau berikan kepada kami. Ampunkan kami di atas segala kesalahan kami, dosa-dosa kami yang kami sedari atau tidak. Kami mohon redhaMu Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami.  
 

Tuesday, January 20, 2009

Qunut Nazilah untuk umat Islam di Palestin



Cebisan semangat buat para Dai'e

Dalam antara kita yang ingin mengajak ke arah kebaikan,ada yang mungkin akan tumpas atau pun dengan kata lainnya berhenti dari medan da`wah.seperti mana Ustaz Hassan Hudaybi menyatakan:
Da`wah ini akan berjalan dan bergerak sama ada dengan kita atau tanpa kita. Seorang aktivis da`wah tidak perlu sedih sekiranya tidak nampak hasil.Allah melihat usaha kita. Pengasas empayar Rom tidak sempat melihat kejayaan nya kerana Rom itu terbina dalam masa yang lama. Kalau sang pengasas itu juangnya semata-mata untuk melihat hasil daripada usaha itu berada dalam hayatnya,maka usahanya mungkin sekali usaha yang tergopoh gapah tanpa perancangan yang kukuh.
Sahabatku,
Usaha anda mungkin tidak akan nampak hasilnya dalam hayat kita ini.Tetapi inshaallah akan membawa hasil.kerana jalan yang kita bawa adalah kesinambungan jalan Rasulullah dan para salafussoleh. Bukankah dalam surah Al-Fussilat ayat ke 33 Allah mengungkapkan
“Siapakah yang paling baik seruannya berbanding orang yang mengajak kepada Allah”.
Sahabat,
Dalam menjalani hidup,kita tidak akan lari daripada segala jenis cabaran. Al Quran sendiri perlu kita kaji dimana dinyatakan
“Adakah manusia itu menyatakan dirinya beriman sedangkan dia belum lagi diuji?”.
Maka ujian dan cabaran itu adalah penyukat terhadap kita. Sebagaimana kita mahu mendapatkan kualiti ISO atau SIRIM pun sesuatu produk itu perlu diuji, kita juga merupakan produk. Produk seorang Muslim untuk diuji sama ada kita ini seorang Mu`min sejati atau bukan.ada pepatah asing mengatakan, “Tea shows it flavor in hot water“.
Maka dapat kita ambil pengajaran bahawa dalam cabaran itu,kita mampu membina diri kita dan mencari serta memperbaiki kelemahan diri. Anda bayangkan tentang pedang.Diciptakan pedang itu dari besi.yang dipanaskan dan ditempa dengan ketukan untuk menempanya.Lalu menjadi pedang yang tajam yang berguna.Begitu juga manusia. Anggap saja manusia ini sebagai besi yang belum ditempa.Ketukan dan kepanasan yang amat tinggi itu adalah cabaran bagi kita.dan produknya adalah seorang Mukmin yang berkualiti.Yang bukan sahaja baik pada akhlak dan imannya tetapi turut sukses dalam kehidupan.
Bukankah Islam ini menyuruh kita untuk berjaya dalam pelbagai segi.Tidak cukup untuk kita baik perangai kita sendiri sahaja.Perlunya kita cemerlang dalam ilmu,ekonomi dan kekuatan.Dan juga perlu kita seru orang lain. Sebagai contoh, perumpamaan dalam buku tulisan Muhammad Qutb,
“ Masyarakat ini ibarat sebuah bahtera.lalu wujudnya segolongan yang ingin membocorkan lantai bahtera itu,sedangkan kita hanya melihat.Akhirnya kita sama - sama tenggelam.”Justeru, hal inilah yang terjadi dalam fenomena sekarang! Kita melihat orang melakukan kemungkaran tetapi tidak langsung ingin menghalang. Alasannya,jangan jaga tepi kain dan itu bukan hal dan masalah kita. Namun akhirnya penyakit ini membarah dan merosakkan masyarakat sehingga ahli keluarga kita sendiri. Sekarang,ADAKAH INI JUGA BUKAN MASALAH KITA??.
Masalahnya, bilamana umat ini hanya menganggap Islam itu sebagai agama ritual.yang setiap perlakuannya hanya adat dan budaya serta ibadat ritual, tiada pengertian lebih dari itu.Sedangkan Islam ini bukan ibadat sahaja. Kehidupan kia seharian dari kita memulakan hari kita perlu dalam kehidupan Islam.dari segi pentadbiran,pergaulan,pendidikan dan lain-lain. Merujuk kepada artikel tulisan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dalam penulisannya,dia mengatakan yang golongan agama ini dilabel dengan orang yang selalu berjalan lambat, tetapi cepat bila ada majlis kenduri,dan cepat juga pulang bila tamat kenduri,berselisih sama ada daging korban wajar diberi kepada bukan Islam atau tak.Sedangkan umat bukan Islam telah maju kedepan dengan teknologi.Dalam zaman ini,kita seakan kembali ke zaman jahiliah dimana kesedaran bahawa Islam itu sebagai jalan hidup amat nipis sekali.Dimana Jahiliah moden ini menganggap bahawa Islam itu hanya ritual.Hanya ibadah ritual dilakukan seharian.Hidup bekerja dan berkeluarga perlu ikut konsep lain dan bukan Islam.Ini suatu pemikiran yang mematikan.Tidak salah untuk kita mengambil konsep yang dibawakan kerna ia juga adalah ilmu yang berharga.Tetapi,bukankah sewajarnya kita berpaksikan kepada kehidupan yang menjadikan Islam itu sebagai jalan hidup dari semua segi.
Kejayaan cendekiawan Islam dahulu bukan hanya sekdar cerita dongeng semata.Itu adalah realiti sebenar.Tambahan pula,ada sebab kenapa mereka berjaya.Ini kerana, mereka menjadikan Islam ini sebagai jalan hidup bukan sebagai ritual.Jadi permulaannya,kita perlu membawa umat ini memahami erti shahadah itu sendiri.Dari satu kalimat ke satu kalimat.Bilamana kefahaman terhadap aqidah itu wujud dimana menerima konsep Tiada illah selain ALLAH,dan ini senang sekali membawa kepada da`wah berkaitan kehidupan seharian.
Contohnya,kenapa perlu bertudung,kenapa perlu menjaga pergaulan,kenapa perlu nya negara Islam,kenapa itu dan ini. Semuanya sudah ada jawapan kalau kita menerima konsep shahadah itu.Bukan maksudnya menerima itu sekadar melafazkan tetapi memahami dengan sebetulnya apa yang terkandung dalam shahadah. Bilamana kefahaman itu tiada maka terlampau banyak soalan yang bakal menjadikan kita lelah untuk menjawab.Semua perkara yang dipersoalkan akan perlu kita jawab.Yang terbaru,syed tantawi dikecam kerana bersalam dengan shimon peres.Syed tantawi adalah ulama yang hebat.Pasti dia sudah berijitihad dengan sungguh-sungguh.Kita tidak bersalam dengan yahudi pun,mereka tetap menindas saudara kita di Palestin.Bukankah dari penat berbalah dan mengecam seseorang,kita berusaha menyemaikan kefahaman tentang Islam kedalam hati orang Islam itu sendiri yangt tidak akan muncul macam-macam bantahan lagi seperti pengharaman yoga,tidak boleh pakai seluar bagi perempuan dan sebagainya yang dipersoalkan. Walhal,itu semua adalah ranting-ranting.Padahal pokok asasnya tidak kita perbetulkan dan fahami dengan sebaiknya. Kita potong ranting,ranting baru akan muncul. Tetapi kalau kita potong pokok tu terus,masalah akan selesai. Oleh itu,pokoknya adalah kefahaman.Sekarang,adakah anda faham??


Dipetik daripada : www.iLuvislam.com

Sunday, December 14, 2008

Pembangunan perlu dikawal

Lama rasanya dah tak menulis. Hari ini saya terbaca satu lagi isu berkenaan alam sekitar. Entah bile agaknya manusia nak sedar. Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yg lalu sepatutnya menjadi pengajaran supaya kita sebagai manusia juga ada tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar. Jika tidak, banyaklah kerosakan yang akan berlaku. Memang benar lagi tepatlah maksud firman Allah S.W.T :

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supay aAllah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)"
(Surah Ar-Ruum, ayat 41).

Isu kali ini adalah berkenaan empangan di Selangor yg bakal pecah jika pembangunan terus dijalankan di sekitar kawasan tersebut. Dalam hal ni, pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam memainkan peranan yang sepatutnya, bukan sekadar mencari keuntungan sahaja. Di bawah ini saya ambil petikan daripada akhbar tersebut:

*****************************************************************************

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memberi amaran tiga empangan air utama di Lembah Klang mungkin pecah dalam jangka masa panjang jika kerja-kerja pembangunan di sekelilingnya tidak dihentikan segera.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, tiga empangan yang terlibat ialah Empangan Langat, Empangan Semenyih dan Empangan Klang Gates.

Syabas mengesan beberapa kes pencerobohan di kawasan ‘sensitif’ di sekitar empangan tersebut.

Kalau kerja-kerja pembukaan tanah atau penerokaan hutan dibiarkan berlaku di kawasan tadahan air yang terletak berhampiran dengan empangan, kemungkinan ia pecah akan wujud.

Kawasan tadahan air itu sepatutnya diberikan perhatian oleh pihak berkenaan dan dibaik pulih sejak dari dulu lagi.

Kemungkinan tiga empangan tersebut pecah adalah tidak mustahil seperti insiden tanah runtuh

di Bukit Antarabangsa yang berlaku tanpa diduga.

Empangan turut dicemari

Tiga empangan utama itu turut dicemari oleh sisa-sisa toksik industri dan kesan pembangunan kawasan yang tidak terkawal sehingga menjejaskan kualiti airnya.

Perkembangan itu membimbangkan kerana tiga empangan tersebut merupakan pembekal air utama bagi Lembah Kelang.

Jika langkah-langkah pengawalan tidak dibuat, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menghadapi krisis kekurangan air bersih dan berkualiti pada penghujung tahun depan.

Sumber : Utusan Malaysia Online (15 Disember 2008)